Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Sunday, May 10, 2009

Najib patut laksanakan nilai-nilai bersejagat dari semua agama

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw berharap Perdana Menteri YAB Datuk Najib benar-benar mengamalkan nilai-nilai sejagat yang didapati di semua agama, bukan hanya menghadiri upacara agama sahaja.

Misalnya, agama-agama seperti Islam, Kristian dan Buddha mempunyai nilai keikhlasan, melarangkan rasuah. Najib menekankan keutuhan atau integriti di dalam Satu Malaysia. Semoga beliau dapat mengamalkan keutuhan di semua bidang.

Dr Tan berminat dengan saranan Najib ketika Perdana Menteri merasmikan sambutan Hari Wesak di Kuil Fo Guang Shan Dong Chan Shi di Jenjarum pada 9.5.2009. Beliau menegaskan," Kita boleh memupuk ciri-ciri sebuah negara yang semakin terbuka dan menerima kepelbagaian sebagai sumber kekuatan dan bukan halangan atau kerumitan kepada negara." Ini adalah ke arah yang betul.

Dari sejarah beribu-ribu tahun, kita melihat hubungan pemimpin dengan agama. Contohnya, pemimpin-pemimpin menyentuh nilai Islam semasa upacara Islam, nilai Kristian ketika sambutan Kristian dan falsafah Buddha waktu Hari Wesak.

Hari ini, Najib mencontohi para pemimpin lama, dengan nilai-nilai sejagat agama. Mudah-mudahan, beliau dapat menunaikannya. Setiap kerajaan memerlukan kerangka nilai-nilai sejagat. Perdana Menteri membangkitkan nilai-nilai dalam Satu Malaysia seumpama ketabahan, meritokrasi dan keutuhan.

Ketika Najib menjadi Ketua Pemuda Umno tidak lama dulu, beliau pernah melaung-laungkan sentimen perkauman dan agama yang bertentangan dengan nilai-nilai tersebut. Kini, beliau adalah Perdana Menteri. Dua bulan yang lepas, saya menyentuh sifat negarawan untuk seorang perdana menteri di Dewan Rakyat di depan Najib. Sifat ini meliputi layanan yang adil kepada semua agama dan kaum.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home