Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Monday, July 03, 2006

kebudayaan teguran bernas dan perlindungan penegur

Timbalan Pengerusi Kebangsaan dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mecadangkan kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM) supaya mewujudkan kebudayaan teguran bernas dan perlindungan penegur untuk menggantikan amalan pak turut di negara ini.

Pemimpin yang berfikiran terbuka dan sedia menerima kritikan akan memanfaatkan negara.

Dr Tan membuat ulasan terhadap kenyataan TPM Datuk Seri Najib Razak yang mengingat pegawai kerajaan supaya jangan hanya menjadi 'pak turut' ketika beliau berucap di majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pada 3 Julai, 2006.

TPM berpendapat bahawa pegawai kerajaan mesti berani memberi pandangan atau menegur menteri apabila tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan dan dasar. Ini memang menarik perhatian.

YAB menyedari bahawa terdapat anggapan bahawa orang yang hendak hidup senang-lenang termasuk kenaikan pangkat tidak boleh (atau terpaksa berhati-hati) menegur, mencela, mencerca atau mengkritik orang kanan. Kalau beliau menegur menteri, beliau takut akan dibalas dendam sehingga kedudukannya terjejas. Akibat berani menegurnya padah? Mentaliti ini adalah rumit.

Misalnya, ada projek-projek bermasalah seperti bangunan Matrade, MRR2 (jejambat Kepong) dan Jambatan Indah, Johor. Bangunan Matrade terlewat disiapkan dan belanjanya boros; tiang-tiang MRR2 retak dan Jambatan Indah dibatalkan serta tuntutan ganti rugi kontraktornya 'RM360 juta'. Terdapat pegawai yang tidak setuju dengan keputusan untuk melantik syarikat Perangsang sebagai kontraktor bangunan Matrade, sindiket Bumihiway untuk MRR2 dan Gerbang Perdana untuk Jambatan Indah, Johor. Di manakah teguran para pegawai dan menteri sebelum keputusan dibuat? Adakah keperibadian Perdana Menteri Tun Mahathir ketika itu sangat terkemuka sehingga tidak ada orang yang menegur?

"Saya tidak fikir menteri terlalu angkuh dan bengis hingga tidak boleh menerima pandangan dan teguran pegawai," katanya Datuk Seri Najib.

Ada menteri yang pernah bertindak tanpa mengira perasaan ahli parlimen seperti membawa pakaian baru ke dewan. Ada yang membidas peranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara(PAC). Ada juga yang sudi mendengar pandangan khalayak ramai termasuk ahli parlimen seumpama cara untuk membentangkan Rang Undang-Undang Industri Air.

Bolehkah kita menghapuskan amalan pak turut? Bagaimana kita mewujudkan budaya teguran? Dapatkah pegawai kanan dan menteri menerima teguran yang berasas?

TPM haruslah mempertimbangkan syor untuk mewujudkan budaya teguran dan perlindungan penegur.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home