Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Friday, January 27, 2006

Selamat Tahun Baru kepada semua kaum

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengucapkan selamat tahun baru dan salam keamanan kepada semua.

Tahun Baru pada 1 Januari adalah mengikut mentari dan Tahun Baru Anjing menurut bulan.

Semoga Tahun Baru membawa perangsangan dan tuah kepada ekonomi dan meninggalkan tahun lepas yang lembap.

Kita berharap keselamatan dalam negara dapat diperbaiki. Semua cadangan Laporan Suruhanjaya Diraja Polis mestilah dilaksanakan dengan berkesan. Jika cadangan-cadangan ini ditunaikan, peristiwa ketuk ketampi tidak seharusnya berlaku dan siasatan ke atasnya tidak perlu. Kita patut menghapuskan rasuah di segala peringkat.

Negara berkehendakkan undang-undang yang adil, untuk mewujudkan ketenteraman dan keadilan. Pertikaian agama mestilah diselesaikan secara aman. Sembilan menteri bukan Islam menarik balik memorandum kepada Perdana Menteri yang menasihatnya supaya mengutarakan isu ini di peringkat Kabinet. Memorandum itu mengesyorkan kepada PM agar meminda Perlembagaan, membolehkan Mahkamah Tinggi Sivil membicara keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah. Sejak Moorthy @ Muhammad meninggal dunia pada 20 Disember, 2005 yang mencetuskan rebutan jenazah di antara isteri si mati dengan Jawi, Kabinet telah bertemu enam kali. Apakah keputusan Kabinet mengenai isu ini?

Dasar Kerajaan tentang projek-projek haruslah diubahkan kepada yang lebih baik, termasuk sistem tender. Kita wajib memansuhkan cara-cara yang menimbulkan skandal-skandal kegagalan struktur dan pelaksanaan. Misalnya, Jejambat Kepong (MRR2) ditimpa keretakan tiang-tiang melintang yang teruk, kegagalan struktur serta implimentasinya sejak tahun 2000. Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Jabatatan Kerja Rakyat berlagak seolah-olah dalam keadaan tidak berdaya untuk mengatasi skandal ini. Keadaan ini tidak seharus dibiarkan berpanjangan lagi. Kita mendesak Kerajaan supaya mengadakan kerja kalis air ke atas MRR2 dengan serta-merta.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home