Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Saturday, December 10, 2005

Kerajaan Malaysia jangan mencemarkan sungai-sungai lagi, seperti Sg Klang.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Dr Tan Seng Giaw dan Ahli Parlimen Kepong menyeru Kerajaan Malaysia supaya mengkaji sama ada pencemaran tasik-tasik Taman Nanyang, Taman Wahyu dan Kampung Delima, Jinjang Utara, Kuala Lumpur, akan mencemarkan lagi Sg Klang yang sudah mati.

Salah makan memuntahkan, salah tarik mengembalikan, salah langkah surut kembali.

Pada 11 Disember, 2005, jam 11.30 pagi, Dr Tan membawa dua anggota sebuah syarikat kimia ke Tapak Pelupusan Sampah Sarap, Taman Beringin, Jinjang Utara, Kepong, Kuala Lumpur, untuk mengambil enam sampel air larutresap sampah (leachage, kumbahan). Sampel-sampel ini akan dianalisis untuk mengetahui isi-kandungan bahan toksid yang mencemarkan kawasan sekitar dan tasik-tasik tersebut.

Kerajaan mestilah menganalisis air larutresap dan tasik-tasik tersebut untuk menilaikan sama ada Projek Tebatan Banjir Sistem-Sistem Sungai Keroh dan Sungai Gombak akan dicemarkan lagi. Projek Pakej B ini telah dianggarkan menelan belanja RM528.88 juta.

Ketika hujan lebat, air hujan yang lebih akan disalurkan melalui pembetungan besar bawah tanah projek tersebut kepada tasik-tasik itu. Jika air tasik sangat tercemar, maka air yang akan dilepaskan kepada Sungai-Sungai Jinjang, Gombak dan Batu akan mengotorkan Sungai Klang lagi. Kerajaan harusnya sentiasa berhati-hati.

Keputusan kajian sampel tersebut akan diketahui dalam dua minggu. Kita akan mengemukakan keputusan ini kepada pihak-pihak yang berkenaan seumpama Jabatan Alam Sekitar.

Kita memerlukan projek-projek tebatan banjir. Kita juga mestilah memelihara alam sekitar. Merawat air larutresap sampah adalah penting. Tetapi, di Pusat Pelupusan Sampah Taman Beringin, air itu tidak dirawat. Loji rawatan sudah terbiar. Air kotor ini mengalir ke tempat rendah dan mencemarkan Tasik Taman Nanyang. Apakah tahap pencemarannya? Kerjaan patut memastikan kesan pencemaran ini terhadap projek tebatan banjir tersebut tidak memudaratkan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home