Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Monday, April 03, 2006

Bolehkah Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Kewangan dan JKR mengamal cara minda kelas pertama?

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengesyorkan supaya Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mempelajari daripada kesalahan-kesalahan Rancangan Malaysia Ke-Lapan (RMK8), menghayati dan mengamalkan cara-cara minda kelas pertama.

Salah satu caranya ialah menggunakan sistem tender terbuka, cocok dengan standard antarabangsa bagi projek-projek RMK9 dengan jumlah peruntukan RM220 bilion dalam tempoh 2006-2010.

Di dalam perbahasan usul RMK9 pada 3 April, 2006 di Parlimen, Dr Tan mencadangkan supaya kajian menyeluruh dilaksanakan mengenai keadaan di China, India, Vietnam dan lain-lain untuk membantu rakyat Malaysia. Beliau menganjurkan supaya pakar-pakar yang pulang dari seberang laut dipastikan berjawatan yang sewajarnya dan mentaliti feudal dihapuskan.

Teras Kelima RMK9 ialah mengukuhkan keupayaan institusi dan keupayaan pelaksanaan negara.

Ini adalah penting. Birokrasi dan mentaliti feudal institusi menghindarkan transformasi untuk membolehkan Malaysia melangkah ke status negara maju.

YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menekankan integriti--melaksanakan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan mempertingkatkan Institut Integriti Malaysia (IIM). Beliau menambahkan kakitangan dan kelengkapan Badan Pencegah Rasuah (BPR). Kita hendaklah bekerja kuat untuk mewujudkan integriti. Saya tidak mahu menyaksikan ahli-ahli Parlimen mengusik dan mencari jalan untuk mendapat projek daripada RMK9.

Di bawah RMK8, kita melihat banyak masalah seumpama jejambat Kepong (Middle Ring Road 2, MRR2). Entahlah beberapa kali saya menyoalkan YB Sungai Besi Datuk Seri S. Samy Vellu tentang jejambat tersebut di Dewan ini. Saya tidak dapat mengupaskan masalah MRR2 (keretakan 31 daripada 33 tiang melintangnya) secara panjang lebar disebabkan kesuntukan masa. Dari Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Kewangan hingga JKR, wujudlah perkara-perkara yang tidak betul. Sistem reka dan bina (design and build) timbul kesangsian? Reka adalah salah? Bagaimana Konsortium Bumi Hiway dilantikkan sebagai kontraktor? Mengapa muncul kerumitan kerja baikpulih keretakan MRR2?

Menurut standard dunia, projek-projek ditender secara terbuka dan kontraktor-kontraktor yang paling sesuai dipilih. Misi Nasional adalah misi untuk mencapai status negara maju. Oleh itu, projek-projek RMK9 wajib diuruskan dengan tender terbuka setanding dengan amalan dunia negara-negara maju.

1 Comments:

At 7:55 PM, Blogger Memorable Love said...

Teruskan perjuangan anda

 

Post a Comment

<< Home