Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Monday, April 03, 2006

Mengkaji keadaan ekonomi di China, India, Vietnam dll secara menyeluruh

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Kerajaan mengkaji secara menyeluruh keadaan ekonomi termasuk perdagangan di China, India, Vietnam dan lain-lain. Dengan laporan lengkap dan nasihat yang tepat, rakyat Malaysia boleh menembusi niche atau ruangan dengan berjaya, sama ada di bidang pembuatan, perkhidamtan atau multimedia.

Dr Tan membuat seruan ini ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-9 ( RMK9) di Parlimen pada 3 April, 2006.

Saya mengambil bahagian ini dengan penuh harapan bahawa Misi Nasional boleh tercapai pada 2020. Tetapi, seruan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mestilah diendahkan; YAB membentangkan RMK9 dengan terharu. Jika semua pihak menerima syor-syor, menghayati dan mengamalkannya, negara ini akan menjadi sebuah negara yang maju. Kelemahan-kelemahan RMK8 haruslah digantikan dengan cara-cara yang betul.

Lebih dua tahun yang lepas, YAB mula memegang teraju Kerajaan dengan banyak cadangan termasuk peningkatan sistem penyampaian dan pembasmian rasuah. Malangnya, tidak ramai yang mahu menambahbaikkan penyampaian dan membasmikan rasuah di jabatan kerajaan dan sektor awam.

Sekarang, seruan YAB untuk menjayakan RMK9 tidak seharusnya bagai berseru di padang pasir--seruan yang tidak diendahkan orang atau air di daun keladi. Marilah kita menghayati dan mengamalkannya.

Misi Nasional (2006--2020) ini merangkumi lima teras utama: nilai ditambah, keupayaan pengetahuan, usaha menangani ketidaksamaan sosioekonomi, peningkatan kualiti hidup dan keupayaan institusi dan pelaksanaan.

Di dalam had masa perbahasan 30 minut ini (ramai ahli sibuk mencelah-celah), saya tidak dapat menyentuh lima teras tersebut.

Teras Pertama: Meningkatkan nilai ditambah dalam ekonomi negara.

Kita terpaksa berbuat demikian dalam arus globalisasi. China, India dan setrusnya Vietnam sedang muncul sebagai gergasi ekonomi. Kita tidak boleh bersaing dengan mereka untuk mengeluarkan barang-barang murah dan pasaran dalaman raksasa. Tetapi, kita boleh mencari ruang (niche) di dalam usaha untuk meningkatkan nilai ditambah. Kilang berintensif modal menggantikan kilang berintensif buruh.

Setakat ini, saya tidak nampak kajian menyeluruh yang dijalankan oleh Kerajaan terhadap keadaan di China, India, Vietnam dan lain-lain. Sebaliknya, negara-negara seperti Amerika Syarikat, Perancis dan United Kingdom telah membuat kajian yang lengkap tentang negara-negara tersebut. Mereka memberi maklumat dan masihat kepada rakyatnya.

Saya mencadangkan supaya Kerajaan mengkaji, mengupas serta menganalisiskan keadaan di negara-negara tersebut dengan lebih terperinci untuk membantu rakyat Malaysia meningkatkan nilai ditambah. Bagaimana kita menembusi niche ekonomi global: ruangan yang kita lebih berupaya semacam oleic chemicals dan kereta nasional yang berdaya saing?

Teras Kedua: Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk 'minda kelas pertama'.

RMK9 memperuntukkan RM50.6 bilion atau 23% bagi pendidikan dan latihan. Ini adalah ke arah yang betul. Kita berharap wang ini akan digunakan dengan berkesan. Saya setuju bahawa dalam konteks dunia global, modal insan bermutu tinggi adalah satu keperluan, bukan lagi satu kemewahan. Sambil membangun model insan secara holistik di pelbagai aspek, kita haruslah menarik pakar-pakar dari luar negara terutamanya rakyat Malaysia.

Setakat ini, insentif demi insentif telah diberikan oleh Kerajaan kepada anggota-anggota profesional dan saintis di luar negara. Tetapi, orang-orang yang menyahut dan mengembali ke tanahair adalah tidak ramai. Mengapa? Tentu ada banyak faktor. Satu faktornya ialah mentaliti feudal. Ada yang melaung-laungkan meritokrasi sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Ini berlaku di jabatan kerajaan, universiti, pertubuhan dan kelab. Mereka menyusahkan orang-orang yang berbakat secara langsung atau tidak langsung kerana takut akan kedudukannya terancam.

Pakar-pakar yang hendak pulang ke Malaysia patutlah diiktiraf. Kalau mereka benar-benar berkaliber sehingga boleh dilantik sebagai profesor di universiti terkemuka di katakanlah United Kingdom (UK), mereka haruslah diberi status yang serupa di universiti utama di negara ini. Begitu juga dengan doktor pakar. Jika seorang doktor boleh dilantik sebagai konsultan di hospital yang ternama di UK, beliau wajib di kurniakan status yang sama in Malaysia. Sekiranya mereka diberikan status yang lebih rendah, perbuatan ini adalah tidak adil.

Kerajaan perlu mengkaji status pakar-pakar yang balik dari seberang laut dan memastikan mereka berjawatan sewajarnya. Mentaliti feudal mestilah dihapuskan sama sekali.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home