Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Wednesday, September 07, 2011

Integriti pengurusan KWSP mestilah sentiasa ditekankan

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengulangi hasratnya untuk menyaksikan integriti pengurusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWSP, meningkat ke tangga teratas di dunia, bukan sahaja jumlah aset ke-9 terbesar di dunia.

Jumlan aset AS$145.57 bil adalah yang ke-9 terbesar di dunia dari yang ke-19 pada 2009 berbanding dengan yang nombor 1 dunia, Government Pension Investment Fund, Jepun, AS$1.432 trilion. Caruman dari rakyat Malaysia kepada KWSP adalah banyak, dan bertambah setahun demi setahun.

Pada 6.9.2011, Dr Tan membuat komen terhadap saiz aset KWSP yang ke-9 di dunia.

Wang simpanan untuk pekerja adalah penting. KWSP merupakan salah satu cara simpanannya. Negara-negara seumpama Korea Selatan, Jepun dan Singapura menjaga para pekerjanya dengan cara yang serupa. Dana ini mestilah diuruskan dengan hemah, bersih dan penuh tanggungjawab.

Bila KWSP dikendali dengan cara yang baik, kepentingan para pencarum telah dipelihara. Kita berharap KWSP sentiasa berikhtiar berbuat demikian.

Dari semasa ke semasa, rakyat Malaysia berasa bimbang dengan sesetengah pelaburan yang dilakukan oleh KWSP. Misalnya, pada 1985, ia dikatakan menggunakan 3.3% daripada dana $24 bil untuk melabur dalam 'equities dan funds dengan portfolio managers'. Pada 1987, ia disebutkan sebagai melaburkan di dalam 16 kaunter saham dengan jumlah kerugian $60 juta. Pada 1995, ia juga terlibat dengan Projek Empangan Bakun yang menelan belanja berbilion ringgit. Ia perlu telus dan akauntabel.

Malaysia mempunyai kependudukan 28 juta dengan berjuta-juta pekerja yang mencarum kepada KWSP. Jika diuruskan dengan bersih dan berkesan, saiz dana ini akan bertambah dan melonjak ke tangga lebih tinggi.

Sambil mengharapkan aset KWSP meningkat, kita juga menginginkan integriti pengurusannya melonjak ke tangga yang tinggi.

Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home