Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Wednesday, April 18, 2012

Adakan kaedah mencegah Akta Kesalahan Keselamatan disalahgunakan

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menegaskan bahawa lindung janji Perdana Menteri YAB Najib untuk Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 patut dikotakan untuk jangka masa panjang.

Terdapat beberapa perkara di dalam RUU ini yang boleh diterima seperti fasal 5(2): tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya. Ada beberapa perkara semacam tafsiran maklumat sensitif perlu diteliti. Oleh itu, sebuah jawatankuasa khas seperti yang dicadangkan oleh YB Ketua Pembangkang boleh mendalami sehingga ianya tepat, persis dan jitu sebelum RUU diluluskan. Yang terpentingnya, seorang yang tidak berdosa tidak ditahan di bawah RUU ihni.

Pada 15.4.2012, Dr Tan mengambil bahagian di dalam perbahasan RUU tersebut di Dewan Rakyat.

Saya bangun untuk mengambil bahagian di dalam perbahasan ini dengan perasaan sedih dan gembira, sedih kerana wujud penyalahgunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan gembira disebabkan ISA dimansuhkan selepas 52 tahun.

Saya mengulangi hasratnya untuk memansuhkan ISA dan digantikan dengan undang-undang anti-keganasan (anti-terorisme) di Dewan ini. Tetapi, YB Rembau kurang mengambil perhatian. Pagi ini beliau menuduh Pembangkang hanya hendak memansuhkan ISA tanpa alternatif. Beliau adalah berani senduk pengedang, air hangat direnanginya, berani dengan membuta tuli.

Keselamatan negara mestilah sentiasa dipelihara. Ini adalah termasuk keselamatan Dewan Rakyat. Kita tidak tahu bilakah pengganas akan muncul. Misalnya, Norway merupakan sebuah negara yang aman dan liberal, kaya dengan minyak dan gas. Tahun lalu, tiba-tiba jelmalah seorang pelampau yang membunuh 77 orang, ramai daripadanya pemuda-pemudi yang berbakat.

RUU ini boleh dibincangkan dari segi undang-undang, falsafah atau teori. Saya hanya menyentuh aspek undang-undang secara ringkas.

Pada 12 Julai, 1948, pihak British telah mengisytiharkan Darurat di Malaya, diikuti dengan Peraturan Darurat 17D. Pada 1951, Briggs Plan dan Operation Starvation dilaksanakan. Pada 31 Julai, 1957 berhentilah Pemerintahan Darurat diikuti dengan Kemerdekaan negara pada 31.8.1957.

Menurut Perkara 149, Perlembagaan Persekutuan, ISA digubalkan untuk menentang Komunis. Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman mengatakan bahawa matlamat ISA ialah untuk menangani Komunis, bukan ahli-ahli politik.

Saya tidak mempunyai masa untuk menjelaskan fasal-fasal yang harus ditambahbaikkan. Misalnya, fasal 3 tafsiran; fasal 4 kuasa penangkapan dan penahanan; seksyen VII keterangan (fasal 26: keterangan oleh rakan sejenayah dan ejen provokasi.) Fasal 30 adalah penahanan sementara menunggu proses undang-undang habis. Fasal 31 adalah kuasa Menteri untuk membuat peraturan-peraturan. Ini berdasarkan kepada kewibawaan, keadilan dan kepekaan Menteri. Beliau adalah seorang manusia yang boleh membuat salah.

YB Permatang Pauh, YB Bagan dan beberapa YB lain telah membangkitkan fasal-fasal yang mesti ditafahus dan ditambahbaikkan.

YAB Perdana Menteri menyebutkan lindung jamin terhadap RUU ini. Semua Perdana Menteri sebelum ini telah menjamin dengan acapkali tentang ISA tidak boleh disalahgunakan. Tetapi, hakikatnya ISA disalahgunakan juga seumpama yang diakui oleh Tun Hussein Onn, ayahanda YB Menteri Dalam Negeri, YB Sembrong.

Perdana Menteri Tun Hussein mengatakan:"... I made every effort to ensure that the power(s) under the ISA would not be misused to curb lawful political opposition and democratic citizen activity, were respected." Pada 1987, Tun Hussein membuat affidavit yang menyebutkan ISA disalahgunakan.

Tunku Abdul Rahman said the ISA was formulated against communists and their allies to prevent and ultimately to defeat these insurgents. He reiterated, " My Cabinet colleagues and I gave a solemn promise to Parliament and the nation that the immense powers given to the Government under the ISA, 1960, would never be used to stifle legitimate opposition and silence lawful dissent."

Kaedah mestilah diadakan untuk menentukan RUU tersebut tidak akan disalahgunakan untuk orang-orang yang tidak berdosa.

Tan Seng Giaw

Thursday, April 05, 2012

Jawatankuasa Pilihan Khas Memantau Pelaksanaan Syor-Syor PSC

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesakkan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan syor-syor Laporan PSC.


Sumber manusia dan kewangan SPR mestilah dipertingkatkan agar ia dapat melaksanakan urusan dan syor-syor PSC dengan berkesan. Tambahan bilangan kakitangan SPR patut diumumkan sekarang.

Pada 5.4.2012, Dr Tan mengambil bahagian di dalam perbahasan perbekalan tambahan 2012 di peringkat jawatankuasa B4 tambahan RM48,770,200 untuk menampung kos urusan pilihanraya.

Perbelanjaan tambahan tersebut telah digunakan untuk pilihanraya kecil di Dewan Undangan Negeri Tenang, Johor, Merlimau dan Kerdau, PRU Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-10 serta persediaan awal Pilihanraya Umum Ke-13.

SPR telah berusaha menjalankan tugasnya. Tetapi, terdapat kelemahan-kelemahan. Misalnya daftar pemilih disyaki tidak bersih dan kekurangan kakitangan SPR, dan bukan negara diberi hak mengundi.

Dua hari yang lepas, kerana tersinggung perasaan, usul Laporan PSC telah diluluskan tanpa perbahasan. Memang pelbagai perkara timbul. Laporan yang diluluskan ada 18 syor. Saya berharap 4 syor Laporan Minoriti boleh diterima oleh SPR. Ini boleh bantu mengurangkan kelemahan-kelemahan yang dihadapi oleh SPR termasuk daftar pemilih dianggap tidak bersih dan bukan warganegara disyaki menjadi pengundi.

Laporan Majoriti boleh menjadi Laporan Minoriti da sebaliknya.

Pihak sebelah sana laksana katak, sedikit hujan banyak bermain. Pada zahirnya, ahli-ahli YB menyebut demokrasi yang meliputi proses pilihanraya yang adil dan saksama dan daftar pemilih yang bersih. Pada batinnya, semua patut mempunyai semangat yang tulen.

YB Padang Rengas, sebagai menteri, mengatakan Kabinet akan membincangkan hal ditubuhnya jawatankuasa untuk mengawal pelaksanaan syor-syor PSC. .Saya berharap perkara ini terus dibangkitkan. YB berlagak laksana lembu dogol, tak boleh ditanduk hanya disondol.

YAB Perdana Menteri mengatakan Kerajaan juga mahu pilihanraya yang bersih dan adil dan ia tidak mahu dipilih berdasarkan penipuan (election fraud). Kita setuju. Tindakan berkesan perlu diambil.

PSC khas haruslah ditubuhkan untuk mengawalselia pelaksanaan syor-syor Laporan PSC. Sumber manusia dan kewangan mestilah dipertingkatkan bagi SPR.

Tan Seng Giaw

Tan Seng Giaw