Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Monday, January 18, 2010

Pastikan klinik 1 Malaysia melayan pesakit dengan baik.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Kerajaan memastikan kakitangan klinik 1 Malaysia benar-benar mempunyai belas kasihan dan melayankan para pesakit dengan baik.

Dr Tan melihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib merasmikan klinik 1 Malaysia yang ke-44. Rakyat sedang memperhatikan sama ada klinik seumpama ini memberi makna kepada kesihatan mereka.

Klinik yang boleh memberi perkhidmatan yang elok kepada rakyat, terutamanya orang yang miskin, adalah bererti. Kita mengharapkan klinik-klinik 1 Malaysia boleh memainkan peranan seperti ini. Memang Najib berjani bahawa ia tidak akan bersaing dengan klinik swasta.

Saya akan menyaksikan klinik komuniti ini, misalnya di Taman Intan Baiduri, Kepong, untuk menilaikan sama ada klinik-klinik ini memberi perkhidmatan seperti yang dijanjikan. Ia adalah diuruskan oleh seorang pembantu perubatan dan seorang jururawat, dan dibuka setiap hari dari jam 10 pagi sehingga 10 malam.

Kononnya, pesakit yang demam, batuk atau berluka ringan boleh mengunjungi klinik 1 Malaysia.

Kerajaan Pusat akan membelanjakan RM 10 juta untuk menubuhkan 50 buah klinik jenis ini. Kita perlu tahu kos penyelenggaraannya.

Bolehkah ia mengurangkan kesesakan di klinik-kilink pesakit luar di hospital-hospital?

Memang hospital-hospital cuba memberi perkhidmatan yang sebaik-baiknya. Tetapi, ia masih mempunyai kelemahan. Contohnya, sikap setengah kakitangan boleh diperbaiki. Ini adalah termasuk doktor, jururawat dan kakitangan yang lain. Adakah kelemahan yang serupa akan timbul di klinik-klinik 1 Malaysia?

Kita berharap pembantu perubatan dan jururawat di klinik-klinik 1 Malaysia sungguh berjiwa rakyat dan memberi perkhidmatan yang bermakna kepada orang ramai.

Dr Tan Seng Giaw

Monday, January 11, 2010

Polis perlu menjelaskan bagaimana ia mengawal gereja,sekolah dan keselamatan keseluruhannya.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong menyeru supaya Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menerangkan cara-cara mengawal gereja, sekolah dan keselamatan keseluruhannya dengan serentak termasuk penjenayahan bersenjata.

Pada 12.1.2010, Dr Tan membangkitkan kebimbangan awam mengenai kemampuan polis menangani penjenayahan di negara ini.

Menjelang Tahun Baru Cina, para penjenayah kononnya meningkatkan kegiatan ragut, perompakan, pencurian dan serangan bersenjata, seolah-olah tidak mengindahkan polis. Oleh itu, Tan Sri Musa patut menjelaskan bagaimana pihaknya mengawal kegiatan jenayah dan menjaga ketenteraman negara.

Yang paling cemasnya ialah mencegah jenayah membakar gereja. Semalam, Menteri Dalam Negara Datuk Seri Hishammuddin mengatakan suspek sudah dikesan, cuma mestilah dirahsiakan lagi. Kami berharap tempoh rahsia ini tidak begitu panjang. Hisham perlu mendedahkan butiran mengenai para suspek ini.

Kelmarin, Kementerina Dalam Negara menerangkan keadaan kepada perwakilan 62 negara. Dua minggu yang lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan Catholic weekly, Herald, menggunakan kalimah Allah. Ini mencetuskan bantahan. Cubaan membakar lapan gereja telah berlaku. Kami berharap perwakilan asing memahami keadaan. Wakil-wakil negara Kristian seperti Amerika Syarikat, UK, Perancis dan Rusia adalah biasa dengan langkah mencegah terrorisme.

Ketika cubaan serangan gereja berlaku, syarikat keselamatan swasta tumbuh bagai cendawan. Syarikat keselamatan swasta dan pasukan polis adalah sangat berbeza. Jika keselamatan terkawal, mengapa timbul begitu banyak syarikat keselamatan dan tempat-tempat kawalan swasta di kawasan-kawasan perumahan di seluruh negara? Ramai yang berasa bahawa syarikat keselamatan swasta bertambah kerana insiden jenayah melambung.

Dr Tan Seng Giaw

Sunday, January 03, 2010

Tebatan banjir: gunakan peruntuk dengan berkesan.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesak Dewan Bandarraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya menggunakan peruntukan 2010 RM103.6 juta bagi melaksanakan dengan berkesan 30 projek tebatan banjir, termasuk mempertingkatkan tebing Sungai Keroh di Kepong Baru dan memperelokkan tasik takungan air di Taman Pusat Kepong.

Pada 3.1.10, Dr Tan melawat Sungai Keroh di Kepong Baru\Taman Petaling dan tasik takungan air di Taman Pusat Kepong.

Tebatan banjir di seluruh negara termasuk Kuala Lumpur adalah peri mustahaknya. Semua projek mestilah dilaksana dan disiapkan meliputi tebing Sg Keroh dan tasik takungan air Pusat Kepong.

Kerana banjir teruk, Kerajaan Pusat mengadakan dua pakej tebatan banjir di KL, iaitu Pakej 1, Terowong Bistari RM2.1 billion, dan Pakej 2 ,Tasik Takungan Air di Batu dan Jinjang dengan saluran bawah tanah, lebih RM500 juta.

Pakej 2 bertujuan membolehkan air hujan lebat dari tasik takungan di Pusat Kepong mengalir melalui parit bawah tanah ke Jinjang Utara untuk tiga tasik, yakni Tasik Taman Wahyu, Tasik Taman Nanyang dan Tasik Sri Delima di Jinjang Utara. Projek ini telah dijadualkan bermula pada 25.8.2003 dan disiapkan pada 24.5.2007. Kerana kontraktor menghadapi masalah, ia ditundakan kepada 27.12.2007. Tetapi, selepas dua tahun, nampaknya peringkat yang terakhir di Jinjang Utara baru sahaja di timbus tanah. Barangkali, ia sudah siap.

Kini keadaan tasik takungan Pusat Kepong dan tebing Sungai Keroh di Kepong Baru adalah kurang baik. Ia perlu diperelokkan.

Peruntukan 2010 bagi 30 projek tebatan banjir & meningkatkan mutu air sungai DBKL adalah sebanyak RM103.6 juta atau 10.18% dari jumlah bajet RMRM2.1 bilion. Peruntukan ini bertujuan untuk melaksanakan kerja pembangunan bagi menjalankan program penyelenggaraan, pembersihan parit dan sungai serta tebatan banjir.

Usaha mempertingkatkan tebing sungai dan memperelokkan tasik takungan mestilah diadakan bagi Sg Keroh dan tasik takungan Pusat Kepong.

Dr Tan Seng Giaw