Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Tuesday, June 30, 2009

Tingkatkan penyelarasan untuk mengawal & mencegahkan pandemik Influenza A H1N1.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya penyelarasan dengan pelbagai pihak dipertingkatkan untuk mengawal dan mencegahkan pandemik Influenza A H1N1 dengan cekap dan berkesan.

Dr Tan mengambil bahagian di dalam perbahasan usul 18(1) mengenai pandemik Influenza A H1N1 yang dibentangkan oleh YB Gopeng di Parlimen pada 30.6.2009. Pada 26.6.2009, adanya 158 kes Influenza A H1N1, termasuk 25 kes tempatan di Malaysia.

Kerana beberapa faktor termasuk pendatang tanpa izin, insiden kes Influenza A H1N1 mungkin tidak membayangkan keadaan yang sebenarnya. Namun, Kementerian Kesihatan mempunyai pengalaman dan kaedah untuk menghadapi pandemik ini. Ia pernah menangani wabak Nipah. Tetapi, langkah-langkah yang sedang diambil perlu diperbaiki.

Perkhidmatan di 28 buah hospital untuk merawat kes Influenza A H1N1 hendaklah diperelokkan.

Kita patut memastikan stok ubat dan alat perlindungan diri adalah mencukupi. Kementerian Kesihatan harus mempunyai vaksin A H1N1 apabila ia boleh didapati di pasaran kelak. Sementara itu vaksin virus Influenza bermusim adalah tidak berkesan.

Aktiviti kesedaran awam termasuk laporan media haruslah telus dan tepat. Perutusan hendaklah sampai ke semua pihak termasuk ibu-bapa yang sekolah-sekolah anak-anaknya ditutupkan.

Unit-unit khas yang ditubuh di semua sekolah perlu dikendalikan dengan cekap dan berkesan. Terdapat hampir 8,000 buah sekolah.

Setakat ini Kerajaan telah menyediakan pelan National Influenza Pandemic Preparedness Plan, Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian, Majlis Keselamatan Negara dan social distancing. Penyelarasan di antara jawatankuasa-jawatankuasa tersebut, kementerian-kementerian dan pertubuhan-pertubuhan orang awam mestilah dipertingkatkan.

Mutasi virus boleh berlaku. Ini akan menjadikan Influenza A H1N1 lebih berbahaya.

Dr Tan Seng Giaw

Thursday, June 25, 2009

Suruhanjaya integriti mestilah benar-benar bebas

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan SengGiaw mengesyorkan supaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan haruslah benar-benar bebas, tidak dipengaruhi oleh sesiapapun.

Pada 25.6.2009 Dr Tan mengambil bahagian di dalam perbahasan Rang Undang-Undang Surhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 yang dibentangkan oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Nasri Aziz.

Ketika Suruhanjaya Polis Diraja diumumkan lebih lima tahun yang lalu, IPCMC (Independent Police Complaints and Misconduct Commission) dicadangkan. Saya membangkitkan darihal ini di dalam Dewan berulang kali. Tetapi, pihak polis tidak bersedia menerima sebuah suruhanjaya hanya bagi polis untuk menerima aduan salah laku daripada orang ramai kerana salah laku boleh timbul bukan sahaja di kalangan polis bahkan di kalangan agensi yang lain seperti kastam. Tumpuan hanya kepada polis adalah tidak munasabah.

YB Menteri mengatakan rang undang-undang ini mengambil ikhtibar dari undang-undang yang serupa di New South Wales (NSW) dan United Kingdom(UK). Beliau menganggap undang-undang di NSW adalah berkesan.

Suruhanjaya untuk polis semata-mata

Suruhanjaya Polis Diraja mencadangkan ditubuhnya IPCMC hanya bagi polis. Ini adalah ombudsman. Sekarang, Dewan ini mendebatkan Suruhanjaya Integriti untuk 21 agensi selain pasukan polis.Walaupun ia adalah ke arah yang betul, saya berpendapat bahawa ia tidak akan dikuatkuasakan dengan berkesan. Sekiranya Kerajaan mendapati bahawa Suruhanjaya Integriti tidak efektif pada masa hadapan kelak, ia perlu mengadakan Suruhanjaya seperti IPCMC.

Kini, terdapat 100,000 anggota polis dan kita berharap bilangannya akan meningkat kepada 150.000 tidak lama lagi seumpama yang diputuskan oleh Kabinet. Kita hendak Suruhanjaya semata-mata untuk menangani aduan salah laku terhadap polis.

Di Australia dan UK, mereka pernah menubuhkan ombudsman bagi pelbagai jabatan kerajaan. Tetapi, ia tidak berkesan. Maka, mereka mengadakan ombudsman hanya untuk polis.
Suruhanjaya bebas

Saya mengesyorkan supaya Suruhanjaya tidak diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negara atau Jabatan Perdana Menteri. Imejnya tidak baik. Misalnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri. Banyak orang menganggap ia dipengaruhi oleh Kerajaan. Setakat ini, ramai yang mempunyai persepsi bahawa SPRM adalah berat sebelah.

Keanggotaan yang benar-benar layak

Perlantikan Ketua Pengarah mestilah benar-benar berdasarkan kelayakan dan bebas dari pengaruh politik. Bilangan kakitangan selain dari pesuruhjaya haruslah mencukupi. SPRM memerlukan lebih 2,000 kakitangan semua peringkat. Ia cuma mengisikan 80% sahaja. YB Menteri mestilah mengumumkan bilangan kakitangan yang diperlukan oleh Suruhanjaya Integriti serta tempatnya.

Pertindihan peruntukan SPRM dan Suruhanjaya Integriti mestilah dielakkan.

Dr Tan Seng Giaw

Monday, June 22, 2009

Kementerian Kesihatan mestilah menjelaskan mengenai vaksin influenza

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan SengGiaw menyeru supaya Kementerian Kesihatan menerangkan mengenai vaks ininfluenza bermusim bagi golongan berisiko.

Kini dunia belum mempunyai vaksin A H1N1 dan suntikan vaksin influenza bermusim tidak akan mencegah orang dari dijangkiti virus A H1N1.

Pada 20.6.2009, Dr Tan mengulas tentang pertambahan kes positif influenza A H1N1 di Malayisa. Nampaknya, hari ini bilangan sudahmeningkat kepada 42 dari 35 semalam. Kes pertama telah dikesan pada 15Mei, 2009. Pada 21.6.2009, jumlah kes ialah 49.

Setakat ini selain dari dua kes, kesemua kes tersebut bukan kespenularan tempatan sebaliknya kes import.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan pandemik influenza A H1N1 minggu lepas. Pada 18.6.2009, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan 10 langkah mencegah penularan wabak tersebut, termasuk pengisian borang pengisytiharan kesiahatan dan pelalian vaksin influenza bermusim untuk golongan berisiko seperti jururawat dan doktor.

Virus influenza boleh bertukar menjelma sebagai virus yang tidak serupa. Mutasi ini boleh berlaku dengan A H1N1. Oleh itu, Kementerian terpaksa bertungkus-lumus memeranginya dengan kerjasama rakyat. Kita mestilah mematuhi langkah-langkah yang dikuatkuasakan. Tetapi,Kerajaan haruslah memberi maklumat yang cukup melalui pelbagai saluran dan langkah-langkahnya patutlah berkesan.

Misalnya, sekarang kita tidak meperolehi vaksin A H1N1. Waalupun makmal-makmal besar di dunia sedang berikhtiar untuk mengeluarkan vaksin A H1N1, ia mengambil masa sekurang-kurangnya tiga atau empat bulan. Bilakah Malaysia dapat memperolehinya?

WHO memberitahu bahawa kini jumlah terkumpul H1N1 adalah 40,089 kes dengan 167 kematian daripada 90 negara, iaitu pertambahan 286 kes.

Bilangan kes A H1N1 akan bertambah lagi. Rakyat wajib berhati-hati. Karajaan patut memberi maklumat yang tepat.

Dr Tan Seng Giaw

Wednesday, June 03, 2009

Gunakan sistem tender terbuka antarabangsa untuk melantik kontraktor.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengesyorkan supaya Kementerian Kerja Raya menggunakan sistem tender terbuka yang diterima antarabangsa untuk melantik kontraktor dan perunding pembinaan bagi projek-projek awam.

Pada 4.6.2009 Dr Tan memberi pandangan terhadap keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu, yang berlaku pada 2.6.2009. Satu program sukan telah diaturkan untuk keesokan hari.

Stadium itu disiapkan pada April, 2008. Ia menelan belanja RM292 juta. Sukan Malaysia (Sukma) telah dilangsungkan di situ hampir satu tahun yang lalu.

Dengan konsep Satu Malaysia, Kerajaan tentu boleh mengamalkan sistem tender terbuka yang dipakai oleh negara-negara maju. Saya berharap Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin mempunyai iltizam untuk berbuat demikian.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri mengatakan bahawa Kabinet telah mengarahkan Kementerian tersebut mengetatkan prosedur pelantikan kontraktor dan perunding pembinaan. Beliau hendak melihat kualiti, professionalisme dan kemampuan para kontraktor diberikan penekanan yang lebih tinggi. Semoga semua ini dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Cara-cara perlantikan kontraktor dan perundingnya memang menimbulkan syak wasangka. Misalnya, pelbagai peristiwa berlaku di projek-projek bermasalah seperti MRR2 Kepong, Bangunan Matrade di Jalan Duta, Kuala Lumpur, projek Tebatan Banjir di Jinjang, projek Zon Bebas PelabuhanKlang (KPFZ), Wang rakyat diperbazirkan.

Meskipun kerajaan negeri telah menubuhkan satu pasukan penyiasat, ia tidak mencukupi. Yang pentingnya, pakar-pakar bebas perlu dilantik untuk mengkaji punca keruntuhan tersebut.

Dr Tan Seng Giaw

Monday, June 01, 2009

Memperbaiki sistem pengambilan pelajar di universiti serta memastikan keadilannya.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin memperelokkan sistem pengambilan pelajar-pelajar di institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA), termasuk saluran Internet serta memastikan keadilan dan kesaksamaan di semua peringkat.

Kerja ini perlu kerjasama semua pihak, kurang tambah-menambah, senteng bilai-membilai.

Saya menekankan bahawa bilangan pemohon adalah ramai, tetapi tempat di universiti terhad. Misalnya di Universiti Sains Malaysia (USM), terdapat 3,599 tempat walhal ada 22,000 pemohon. Malangnya, di dalam Internet, USM menyenaraikan nama semua pelajar yang layak iaitu 8,173 calon sedangkan jumlah yang dapat tempat adalah 3,599 sahaja. Kesilapan ini menyinggungkan 4,574 pelajar yang memenuhi kriteria universiti, tetapi tidak berjaya.

Semalam Khaled berjanji bahawa 4,574 pelajar ini akan dimasukkan ke IPTA yang lain.
Beliau menyifatkan bahawa sebagai satu-satunya univerisiti Apex (unggul), USM malakukan kesilapan ini. Beliau meminta maaf kepada para pelajar yang terjejas dan ibubapa mereka.

Kita berharap menteri itu boleh menyiasat hal ini dengan secepat mungkin. Khabarnya pada 1.6.2009, satu jawatankuasa siasatan bebas telah ditubuhkan untuk berbuat demikian.

IPTA yang lain seperti Univeristi Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempunyai kaedah pengambilan pelajar tersendiri. Kadangkala, ada pemohon yang tidak berjaya merungut bahawa sistem pengambilan itu tidak adil, terutamanya dalam khusus yang diminati seumpama perubatan, kejuruteraan dan pengurusan. Setakat ini, mereka belum membuat kesilapan seperti USM.

Saya akan membangkitkan perkara sistem pengambilan pelajar di IPTA di Dewan Rakyat. Saya berharap semua IPTA bukan sahaja memperolehi sistem yang sempurna bahkan juga menunjukkan kaedah adil dan saksama. Walaupun para pemohon adalah ramai untuk tempat di IPTA yang terhad, sekurang-kurangnya IPTA memaparkan sifat yang adil.

Dr Tan Seng Giaw