Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Sunday, February 17, 2008

Biodata Dr Tan Seng Giaw & isu-isu yang dibangkitkan

Dr Tan Seng Giaw telah menjadi Ahli Parlimen Kepong sejak 1982. Beliau bersuara lantang di dalam dan luar Dewan Rakyat tanpa gentar atau pilih kasih. Beliau sentiasa melawat Kepong. Beliau menghadapi halangan seperti persempadanan bahagian pilihanraya yang kontroversi, kawalan kerajaan terhadap media dan kehakiman.

Latar belakang ringkas

Dr Tan adalah fasih dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin termasuk Jawi. Beliau belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hwa, Kota Bharu, Kelantan dan Sekolah Menengah Chung Ling, Pulau Pinang. Beliau mendapat Sarjana Muda dan Kedoktoran dari Universiti Leeds, England. Beliau pernah berkhidmat sebagai seorang doktor pakar di Angkatan Tentera Malaysia. Sebagai seorang doktor pakar kulit, beliau membuka klinik bersama-sama dengan isterinya Oon Hong Geok, seorang pakar kanak-kanak. Dua anaknya adalah doktor, masing-masing dalam pediatrik dan geriatrik.

Dr Tan lahir di Kota Bharu pada 1942. Pada 1976 beliau membantu Tan Sri Dr Tan Chee Khoon untuk berkhidmat di Kepong. Beliau menjadi Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP sejak 2004. Pada 1987 - 1988, beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara, lalu menulis sebuah buku The First 60 Days mengenai pengalaman dalam tahanan.

Dalam tempoh yang lebih dari 30 tahun ini, Kepong mempunyai banyak taman kediaman, pusat perniagaan dan kilang kecil dan sederhana. Jalan Kepong sepanjang 4 kilometer, dari Jalan Kuching ke Jejambat Kepong (MRR2), memperolehi dua pasar raya besar dan lehih 20 cawangan bank.

Tugas seorang ahli parlimen adalah termasuk berucap tanpa gentar atau pilih kasih, mengawalselia undang-undang, wang rakyat dan kakitangan awam, isu-isu pokok, pendidikan dan perkara-perkara seperti geran strata di bahagian pilihanraya.

Bajet Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pada 2008, bajetnya RM 2.457 bilion dengan tema " Ke Arah Membangun dan Mengharmonikan KL." DBKL mempunyai hampir 10,000 kakitangan yang menguruskan pelbagai bidang termasuk longkang, jalan, cukai pintu, taman, lalulintas, banjir dan televisyen litar tutup (CCTV). Ia belanja RM 168 juta setiap tahun untuk sisa pepejal (sampah).

Di Kepong, DBKL merancang projek-projek seperti persimpangan bertingkat di Metro Prima dan Jinjang, dengan kos RM 10 to 15 juta setiap projek. Para penjaja telah diberitahu tentang projek RM 600 million bagi memperlebarkan Jalan Kepong Baru-Jalan Api Api.

Kita berpendapat bahawa semua peruntukan untuk pembangunan haruslah digunakan dengan berkesan. Segala perkhidmatan perlu dipertingkatkan dan kakitangan DBKL mestilah melayan wargakota dengan baik.

Kenaikan harga barangan

Walaupun kerajaan mengatakan bahawa kadar inflasi naik 2 atau 2.5 %, harga barangan telah melambung lebih dari 50%. Harga minyak telah mencecah US$ 100 setong dari semasa ke semasa, harga tepung gandum dan minyak kelapa sawit telah naik. Rakyat bimbang harga barangan akan naik lagi dalam masa beberapa bulan. Kerajaan harus mewujudkan mekanisme mengawal harga barangan dengan berkesan untuk sepanjang masa.

Keselamatan

Laporan Suruhanjaya telah membangkitkan 125 syor untuk menambahbaikkan Polis Diraja termasuk Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis yang bebas (IPCMC). Polis melaksanakan lebih 80% syor tersebut, tetapi enggan menerima IPCMC. Sebaliknya, Kerajaan membentangkan Suruhanjaya Aduan Khas bagi semua agensi; keberkesannya dipertikaikan.

Pada 2006 dan 2007, terdapat bilangan kes jenayah serius 44,016 dan 49,897, masing-masing, dengan bertambahnya 13.36 %. Kita memerlukan lebih kemudahan untuk melatih 60,000 rekrut polis bagi lima tahun akan datang; bilangan anggota bukan Melayu mestilah ditambahkan.

Kepong and Jinjang memperolehi kira-kira 60 anggota polis masing-masing. Kita berkehendakkan lebih banyak anggota polis berkaliber. Malahan, Polis Daerah Sentul yang merupakan daerah yang terrumit dan terbesar di KL patutlah dibahagi kepada Polis Daerah Sentul dan Wangsa Maju dengan secepat mungkin.

Pendidikan

Kerjaan hendak menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan cemerlang di rantau ini. Kini, terdapat 60,000 penuntut asing. Kita hendaklah mengamalkan meritokrasi dan keperluan di semua peringkat. Kita mestilah memastikan universiti di Malaysia adalah terbilang, iaitu termasuk di dalam 200 universiti terbaik di dunia. Pada 2007, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan dan Universiti Sains tidak mencapai tahap itu.

Kerajaan mestilah adil kepada sekolah semua aliran. Pada 2008, jumlah peruntukan pembangunan pelajaran adalah RM 3.5 bilion. YAB Perdana Menteri mengumumkan RM 30 juta untuk sekolah-sekolah Cina; YAB Timbalan PM dan Menteri Besar membuat kenyataan yang serupa. 13 sekolah mini telah dipindahkan dan sekolah Cina baru akan dibina di Wangsa Maju, Sungai Long, Kajang, Bukit Serdang, Rawang and Danga Bay. Kerajaan mestilah mengotakan janji-janji ini; semua wang rakyat patut digunakan dengan sepenuhnya.

Kerajaan harus menolong SJK (C) di Kepong seumpama Desa Jaya II and Kepong III serta membina seklah kebangsaan dekat Jinjang, jika perlu.

'Dasar Ekonomi Baru & projek kerajaan

Usaha-usaha yang tulen wajib diadakan untuk merapatkan jurang di antara berada dengan tidak berada dan di antara kawasan. Dasar Ekonomi Baru digubalkan untuk 1971-1990. Tetapi, projek dan kontrak masih diberi kepada segelintir orang yang mampu berdikari.

Dasar persamaan dan layanan yang adil harus dilaksanakan untuk semua kaum, termasuk keturunan India. Kita akan terus memperjuangkan dasar ini.

Misalnya, pada Mei 2007, Kementerian Kewangan mengeluarkan arahan kepada Kementerian Kerja Raya supaya memberi kerja mekanikal dan elektrikal hanya kepada Bumiputera. Ini menimbulkan ketidakpuasan. Kerjaaan patut mengkaji semula sistem tender dan kesan kontrak yang ditawarkan.

Semua kawasan pembangunan wajar mencapai standard antarabangsa, seperti Kawasan Pembangunan Iskandar (IDR), Kawasan Ekonomi Koridor Utara (NCER), Kawasan Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).

Perbelanjaan Pembangunan Kerajaan Persekutuan untuk 2001-2010, adalah RM 200 billion. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9, RM 20 bilion telah diperuntukkan bagi projek-projek Kementerian Kerja Raya dan 60% darinya telah digunakan. Kerjaan haruslah mendedahkan peratusan yang benar-benar dipakai untuk pembangunan. Adakah 50% atau lebih? Di mana pergi bakinya?

Kesusahan subkontraktor mendapat bayaran dari kontraktor menrupakan salah satu faktor kelambatan projek tebatan banjir di Jinjang. Projek-projek lain seumpama Jejambat Kepong (MRR2) dengan kos RM 238.8 juta ditimpa masalah: kerja MRR2 bermula pada Mei 1999 dan disiapkan pada Disember 2006. Namun, keretakan wujud di 31dari 33 tiang. Lapan pakar asing telah diupah. Kos memperbaikinya meningkat dari RM 18 juta ke RM 70 juta. Setakat ini, Kerajaan belum memberitahu sama ada ia berjaya untuk menuntut balik kos ini dari kontraktor.

Geran Strata

Banyak geran strata untuk projek-projek belum diselesaikan, termasuk di Jinjang dan Kepong. Kita akan terus membangkitkan perkara ini. DBKL, Jabatan Ukur dan Pemetaan dan Pejabat Tanah dan Galian mestilah memperelokkan kaedahnya.

Pelan Struktur

Pelan Struktur bertujuan bagi mewujudkan KL sebagai bandaraya tropika bertaman bercahaya bertaraf antarabangsa. Ia telah diwartakan pada 4.11.2004 dan pelan tempatannya dijadualkan siap pada Disember, 2006. Tetapi, kita masih menunggu.

Pada 2008, RMK-9 memperuntukkan RM 374.8 juta bagi KL. Wang ini perlu digunakan untuk memberi kemudahan dan prasarana kepada Pemuda, Wanita, Warga Emas dan Orang Kurang Upaya.