Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Wednesday, June 20, 2007

Pastikan penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling(Pindaan),20.6.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesak Kerajaan supaya melatih lebih ramai pegawai penguatkuasa, lalu memelihara alam sekitar negara dengan berkesan.

Dr Tan mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang meminda Akta Kualiti Alam Sekililing 1974 pada 19.6.2007.

Alam sekitar Malaysia mestilah diperbaiki. Terdapat tanda-tanda yang tidak elok seperti pembuangan sampah, kumbahan dan sisa toksid di sebarang tempat. Usaha memperelokkan undang-undang, penguatkuasaan dan pendidikan adalah perlu.

Pada 2006, dianggarkan bahawa sebanyak 10,000 kilang mengeluarkan bahan buangan berbahaya. Pada 2004 dan 2005, pengeluaran sisa toksid adalah 469,584 tan metrik dan 489,161 tan metrik masing-masing dan dijangkakan meningkat 8-9% setahun. Apakah jumlah sisa toksid yang dihasilkan oleh kilang-kilang haram?

Banci Pertubuhan dan Perusahaan mendapati sebanyak 546,218 buah industri kecil dan sederhana (IKS) dalam negara, dengan 433,517 atau lebih kurang 80% terdiri dari industri mikro.

Dari 2001 hingga 2005, wujudnya 97 kes pembuangan sisa toksid secara haram. Kerajaan membelanja Rm 8 juta untuk membersihnya. Kita tidak mengetahui ada beberapa kes lagi sejak 2005. Tahun lepas, kejadian longgokan sisa toksid dari Taiwan menimbulkan huru-hara.

Pindaan tersebut memperuntukkan bahawa orang yang bersabit dengan kesalahan pembuangan sisa toksid dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan juga didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit.

Kita setuju bahawa seseorang tidak sepatutnya membuang sisa toksid secara haram. Pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap orang yang bersabit dengan kesalahan tersebut. Ini adalah tepat.

Kerajaan menyatakan bahawa ia menggalakkan IKS. Jika IKS didapati bersabit dengan kesalahan tersebut dan dikenakan hukuman RM500,000, ia mungkin muflis jika keuntungan dan prestasinya kecil. Oleh itu, IKS mestilah menjauhi dari perbuatan haram itu.

Pindaan tersebut tidak menjelaskan sisa toksid yang diimportkan. Ini merupakan satu kelemahan.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan 144 pihak berkuasa tempatan haruslah melatih lebih ramai ahli penguatkuasa yang mempunyai nilai-nilai yang tinggi. Pertambahan ahli penguatkuasa yang bersih, cekap dan beramanah akan memberi kesan apabila rang undang-undang tersebut diwartakan sebagai akta kelak.

Dr Tan Seng Giaw

Sunday, June 17, 2007

Kaji mekanisme lantik kontraktor & pantau projek termasuk DBKL

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menganjurkan supaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengkaji semula mekanisme melantik kontraktor dan memantaukan projek, agar kualiti semua projek boleh mencapai tahap tinggi.

Sebenarnya, 143 pihak berkuasa tempatan (PBT) lain mestilah berbuat demikian untuk memastikan tidak ada pembaziran wang rakyat. Budaya sengaja membazir tidak sepatutnya wujud.

Sementara itu, DBKL haruslah memperbaiki segala projek yang tidak bermutu, seperti laluan pejalan kaki dengan jubin yang terurai di tepi jejambat Taman Kepong. Laluan berjubin yang cantik ini telah siap dibina pada April, 2006. Kini, dengan jubin berselerak, ia telah mejejaskan pejalan kaki, khasnya orang yang kurang upaya (OKU) yang menggunakan kerusi beroda.

Dr Tan melawat laluan rosak itu pada 17 Jun, 2007. Ada projek kerajaan yang boleh diterima. Tetapi ada juga yang tidak bermutu.

Setiap tahun, Kerajaan membelanjakan berpuluh bilion ringgit untuk pelbagai projek. Misalnya, sejak banjir besar di KL 1971, Kerajaan sudah memperuntukkan lebih RM6.2 bilion bagi kerja tebatan banjir. Namun, banjir kilat berlaku. Contohnya, pada 2003 dan 10 Jun, 2007, banjir teruk melanda KL termasuk tempat letak kereta di Dataran Merdeka dan Masjid Jamek yang terdekat dengan ibu pejabat DBKL.

Sesetengah projek kerajaan menimbulkan masalah kerana pelbagai faktor. Kebocoran Jabatan Imigresen dan Kementerian Usahawan dan Koperasi di Putrajaya, serta bangunan Parlimen dan Kompleks Mahkamah di KL membingungkan. Banjir berlaku di atas beberapa sebab seumpama tabiat membuang sampah dan kerja tebatan yang kurang sempurna. Jabatan Pengairan dan Pengurusan Sungai (JPPS) menyelenggarakan sungai di KL dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merancang dan melaksanakan projek sungai. Kalau ada keruntuhan tebing sungai seumpama di jambatan kecil Taman Emas, belakang Pekan Kepong, JPPS menggunakan gabion (batu granit di dalam sangkar besi) untuk mempertahankan tebing secara sementara sahaja.

DBKL mempersediakan beratus juta ringgit bagi projek-projek. Tetapi, terdapat kelemahan dalam cara untuk melantik kontraktor dan mengawal projek, sehingga mendatangkan masalah.

Empat belas bulan yang lepas, DBKL menyiapkan laluan berjubin indah untuk pejalan kaki di beberapa tempat di Kepong Baru dan Taman Kepong. Usaha ini adalah baik. Di beberapa tempat semacam laluan pejalan kaki di tepi jejambat Taman Kepong, jubin telah terurai di sebilangan bahagian. Ini telah menyusahkan pejalan kaki terutamanya OKU dalam kerusi beroda.

Jejambat tersebut yang menelan belanja lebih RM10 juta itu mempunyai laluan pejalan kaki juga. Tetapi, laluan ini bukan untuk OKU. Kita berpendapat bahawa Kerajaan bukan sahaja terpaksa mengemukan kepada Dewan Rakyat laporan Jawatankuasa Khas untuk mengkaji kecacatan bangunan kerajaan seperti di Putrajaya dan KL, malahan ia mestilah mengkaji semula mekanisme perlantikan kontraktor and pemantauan projek di 144 PBT, termasuk DBKL. Kerja untuk memperbaiki laluan rosak tersebut dan menyesuaikan kemudahan untuk OKU haruslah dilaksanakan cocok dengan matlamat Pelan Induk KL (KL20).

Dr Tan Seng Giaw

Friday, June 08, 2007

Perlindung tebing semua sungai di Kuala Lumpur termasuk Sungai Keroh, Kepong, 8.6.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengesyorkan supaya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengukuhkan tebing Sungai Keroh dan lain-lain sungai di Kuala Lumpur (KL).

Sepatutnya, tebing semua sungai di negara terutamanya yang melalui bandar haruslah diperkukuhkan.

Jika pengalaman JPS Pulau Pinang mengenai cerucuk polyvinyl chloride (PVC) dapat dipercayai, maka cerucuk yang selaras dengan alam sekitar itu boleh digunakan untuk seluruh negara.

Dr Tan membuat syor ini ketika melawat tebing Sungai Keroh pada 8 Jun, 2007.

Pada 5 Jun, 2007, tebing sungai telah runtuh di jambatan kecil Taman Emas, belakang Jaya Jusco dan Metro Prima. Saya memberitahu kejadian ini Jabatan Pengairan dan Pengurusan Sungai (JPPS) serta JPS Wilayah Persekutuan. JPPS mula memperbaiki tebing itu dengan segera; ia menggunakan gabion--batu granit dalam sangkar besi baja--untuk menutupkan tempat runtuh secara sementara. Ini boleh mengelakkan tebing itu menjadi lebih teruk. JPPS menyelenggarakan sungai, walhal JPS merancang dan melaksanakan projek sungai.

Sg Keroh mengalir ke Sg Batu yang menghubung dengan Sg Klang. JPS telah menggunakan pengalas konkrit untuk sebahagian Sg Keroh, tetapi ada bahagian yang belum diperlindungkan. Bila hujan lebat, tebing boleh runtuh.

Penggunaan pengalas konkrit adalah tidak cocok dengan konsep pemeliharaan alam sekitar. JPS cuba menggunakan cerucuk PVC di Pulau Pianang. Universiti Malaya sedang mengkaji cerucuk ini. Difahamkan inovasi ini telah memenangi pingat emas antarabangsa.

Setelah JPPS siap memperbaiki keruntuhan tebing Sg Keroh dengan cerucuk besi baja dan gabion, JPS mestilah mempertimbangkan cerucuk PVC bukan sahaja untuk Sg Keroh dan lain-lain sungai di KL, bahkan juga sungai di seluruh negara.

Dr Tan Seng Giaw

Saturday, June 02, 2007

Pastikan penghuni yang layak membeli unit PPR& kurangkan pita merah,2.6.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenalpastikan para penghuni yang benar-benar layak untuk membeli unit-unit Program Prumahan Rakyat (PPR). Kita mestilah mengelakkan pengagihan yang tidak adil, lalu mengurangkan pelbagai aduan.

Dr Tan membuat komen tentang penjualan RM 35,000 seunit PPR pada 2 Jun, 2007.

Pada 1 Jun, 2007, Perdana Menteri YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusan Kabinet untuk menjual unit-unit PPR kepada orang-orang yang layak. Beliau berbuat demikian ketika melawat PPR Taman Intan Baiduri.

Sebelum lawatan tersebut, DBKL berikhtiar untuk membersih kawasan, memungut sampah, menurap jalan, mencuci longkang, menanam pokok dan memasangkan khemah besar. Satu anggaran mencatatkan sekurang-kurangnya 40 buah bas besar yang digunakan untuk membawa orang dari pelbagai tempat di KL ke Intan Baiduri.

Ada yang mengatakan bahawa ini adalah salah satu tanda pilihanraya umum akan diadakan tidak lama lagi. Ada yang menganggap bahawa PM hendak membuktikan kebolehannya. PPR bermula dari zaman Tun Mahathir. Pak Lah membuat keputusan untuk menjualkan unit-unitnya.

Sekiranya penjualan unit-unit PPR dapat diuruskan dengan baik, adil dan saksama, maka para penduduk akan memperolehi faedah. Jika ada ketidakadilan dan kelam-kabut, syor yang baik akan menjadi buruk.

Kita mempercayai bahawa Kerajaan patut memastikan para penghuni yang betul-betul layak membeli unit-unit PPR. Sementara itu, DBKL haruslah menubuhkan sebuah unit khas termasuk kakitangan bukan Melayu untuk urusan jualan itu.

Sebenarnya, seunit PPR mengandungi tiga bilik tidur dan satu bilik tetamu dan sewaan RM 124 sebulan. Kos seunit RM 35, 000 adalah munasabah. Jikalau semua dapat diuruskan dengan teratur dan tidak ada kongkalikung, maka rakyat tidak akan mengalami kesusahan.

PPR Intan Baiduri mempunyai 1834 unit dan 9170 penghuni. Projek ini bermuda pada 19.9.2000 dan siap pada 15.4.2004, dengan kos RM 109,296,348.50. Kemudahannya adalah termasuk tadika, dewan, kedia, surau, padang permainan dan sekolah agama.

Dr Tan Seng Giaw