Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Monday, April 23, 2007

Bersihkan parit & siapkan Projek Tebatan Banjir Jinjang. 23.4.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesakkan supaya Kerajaan cepat menyiapkan Projek Kolam-Kolam Banjir di Jinjang tanpa menjejaskan kualiti kerja serta membersihkan parit-parit di sekitarnya, untuk menyelesaikan banjir kilat dan kesesakan lalulintas.

Dr Tan membuat desakan ini pada 22 April, 2007, mengenai kesesakan trafik di Jalan Kepong bahagian Jinjang dan banjir kilat di Taman Jinjang Baru.

Kuala Lumpur mempunyai projek tebatan banjir dua pakej, Projek Terowong Bistari dan Projek Kolam-Kolam Banjir Batu dan Jinjang. Projek Terowong Bistari menelan belanja RM 2.167 bilion dan tarikh siap ditunda kepada 30 Jun, 2007. Projek Kolam-Kolam Banjir Batu dan Jinjang memerlukan belanja RM 805 juta dan kerjanya lewat 7 bulan. Ia dijangkakan siap pada 27 Disember, 2007.

Kita tidak mengetahui sama ada kedua pakej itu dapat mengatasi banjir di KL. Jabatan Parit dan Saliran (JPS) berpendapat bahawa ia boleh mengelakkan banjir seperti banjir besar 1971. Banjir luar biasa ini dikatakan berlaku seratus tahun sekali. Ada yang tidak percaya bahawa projek tersebut boleh mencegah banjir besar.

Jalan Kepong bahagian Jinjang adalah terlibat dengan Projek Kolam-Kolam
Banjir. Terdapat kelencongan jalan yang mengakibatkan kesesakan lalulintas dan masalah parit-parit di sekitarnya yang menyebabkan banjir kilat di Taman Jinjang Baru.

JPS haruslah menyiapkan Projek Kolam-Kolam Banjir dengan lebih cepat tanpa mengorbankan kualitinya, dan menyelesaikan masalah di antara kontraktor dengan subkontraktor. Sementara itu, Dewan Bandaraya KL patutlah menyiasat keadaan parit di sekitar projek tersebut untuk mendapat tahu punca banjir kilat, lalu menyelesaikannya.

Dr Tan Seng Giaw

Sunday, April 22, 2007

Kertas Putih mengenai Proton & rundingannya dengan transnasional,22.4.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesak Kerajaan supaya mengemukakan Kertas Putih mengenai Proton, kereta nasional, di Dewan Rakyat. Rakyat hendak mengetahui permasalahan Proton dan rundingannya dengan syarikat-syarikat transnasional seperti Volkswagen dan General Motors. Adakah wujudnya kerjasama, penggabungan atau pilihan lain di antara Proton dengan syarikat besar?

Dr Tan membuat desakan ini ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan Rand Undang-Undang Perbekalan Tamabahan di Dewan Rakyat pada 17 April, 2007.

Sekarang, Proton adalah dalam dilema. Sejak 2005, jualan keretanya merosot dengan banyak dan wakil-wakil penjualan kereta itu mungkin gulung tikar. Ini mungkin akan menjejaskan industri automotif hiliran. Oleh itu, Kerajaan perlu mengemukakan Kertas Putih terhadap Proton dan rundingannya dengan multinasionals serta cara-cara untuk menjadikan kereta nasional kompetitif di dalam dan luar negara. Di pasaran terbuka, Kerajaan tidak boleh melindung Proton untuk selama-lamanya.

Lebih 20 tahun yang lampau, saya menekankan di Dewan yang mulia bahawa kependudukan Malaysia adalah kecil secara bandingan. Ia tidak mampu menampung kereta nasional. Sungguhpun industri hilirannya boleh dibangunkan, adalah bukan senang untuk membuat Proton.

Kependudukan negara ini adalah 26 juta, berbanding dengan lebih 70 juta di United Kingdom. Syarikat-syarikat asing sudah mengambil alih hampir semua firma kereta British, termasuk Rolls Royce. Dalam pada itu, teknologi British adalah tinggi, tetapi kurang daya saingan. Kini, syarikat-syarikat Amerika Syarikat seumpama General Motors and Ford sedang reka semula, untuk menghadapi cabaran dunia yang berubah.

Menurut laporan media, dalam sembilan bulan pertama tahun kewangan Proton 2006/2007, jualan kenderaannya berjumlah RM3.66 bilion dengan kerugian tanpa cukai RM 608 juta. Pada 2006, jualannya 115,538 buah kenderaan berbanding dengan 155,118 pada 2005, kemerosotan 30.4%.

Pada umumnya, kemerosotan pasaran kereta adalah 15%, tetapi 30.4% bagi Proton. Maka, 400 wakil penjualan kereta menghadapi risiko gulung tikar. Jika keadaan bertambah buruk, berapa wakil akan hilang? Ada yang menjangka bahawa 70% akan menghadapi risiko muflis. Ke mana pergi vendor-vendornya?

Dr Tan Seng Giaw

Friday, April 20, 2007

Memodenkan taliair di negara secara berfasa, 20.4.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw meminta Kerajaan memodenkan semua taliair di negara ini secara berperingkat-peringkat.

Jika sistem taliair dapat diperbaiki, maka jumlah subsidi baja padi boleh dikurangkan. Kalau sistem taliair uzur, maka kesan subsidi ini memang kurang.

Di Dewan Rakyat, Dr Tan mengambil bahagian dalam perbahasan perbekalan tambahan peringkat jawatankuasa tentang perbelanjaan sebanyak RM214,460,000 untuk menampung kenaikan kadar baja padi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 19 April, 2007.

Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian tersebut YB Datuk Hajah Rohani Binti Haji Abd. Karim, jumlah subsidi baja padi untuk 2005 adalah RM448 juta dan RM450 juta bagi 2006. Setakat ini, subsidi seperti ini adalah perlu. Yang pentingnya, kita hendak memastikan keberkesanan subsidi ini.

Hanya dengan subsidi tersebut adalah tidak mencukupi untuk mengeluarkan padi yang lebih. Kita berkehendakkan sistem taliair semacam Kemubu dan Mada yang moden dan berkesan.

Dua bulan yang lepas, saya berada di Rusa, Kampung Hilir, Jelawat, Bachok, Kelantan. Di tepi sebuah rumah yang pernah didiami ibu saya, terdapat taliair Kemubu. Ibu saya meninggal ketika say berusir lima. Sistem taliair ini perlu diperbaiki.

Sistem taliair Mada dan Kemumu sudah wujud beberapa dekad. Ia memang ketinggalan zaman. Sistem taliair di jelapang padi mestilah cocok dengan zaman semasa. Semua petani haruslah dibekalkan dengan air ketika dikehendaki.

YB Setiausaha Parlimen juga mengatakan bahawa 75% bekalan air di negara ini adalah untuk kegunaan pertanian. Kita terpaksa cari jalan untuk menggunakan air dengan lebih efektif. Kementerian menyebutkan hasratnya untuk memperbaiki sistem paip, mengurangkan pembaziran dan mengadakan kitaran semula air. Semoga ini dapat dijayakan.

Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) memperuntukkan RM70.15 juta bagi mempermodenkan sistem taliair secara berfasa. Kita hendak mengetahui bagaimana peruntukan ini dibelanjakan. Saya akan membuat susulan terhadap perkara ini.

Dr Tan Seng Giaw

Sunday, April 15, 2007

Lantikkan pesuruhjaya bangunan di 144 pihak berkuasa tempatan, 15.4.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw berpendapat bahawa semua 144 pihak berkuasa tempatan(PBT) termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melantikkan pesuruhjaya bangunan dengan secepat mungkin, untuk memastikan apabila sesuatu bangunan tinggi disiapkan, geran strata dapat diperolehi dalam tempuh yang ditetapkan oleh undang-undang. Sementara itu, masalah geran strata di seluruh negara mestilah diselesaikan.

Dr Tan membincang dengan para penghuni darihal aduannya di Taman Aman Putra, Jinjang Utara, pada 15 April, 2007.

Orang Malaysia semua kaum memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan rumah pangsa. Ini adalah termasuk kakitangan kerajaan. Di dalam negara, terdapat projek perumahan yang tidak menyiapkan rumah dalam masa yang diiklankan, geran strata tidak dibereskan dan sebagainya. Di kawasan Kepong, beberapa rumah pangsa menimbulkan masalah, seperti Taman Aman Putra. Misalnya, syarikat pengurusan mengutip cukai tafsiran dan bayaran air dengan kadar yang dianggap terlalu tinggi dan azan dari surau dirasa sangat nyaring.

Di masyarakat majmuk Malaysia, pertikaian di antara agama mestilah dielakkan. Tetapi, perbincangan di antara agama haruslah dipupukkan. Azan lima kali sehari dan 365 hari setahun memanggil penganut Islam bersolat. Ada pekerja giliran malam dan kanak-kanak yang berkehendakkan tidur waktu subuh. Kalau pembesar suara waktu subuh dapat diperlahankan, ada orang yang mengalu-alukan.

Sebaliknya, pembakaran colok orang Cina, gendang India dan upacara agama boleh menjadi orang Islam tidak senang. Semua patut diselesaikan secara aman. Persefahaman dan toleransi adalah peri penting.

Pada 11 April, 2007, saya telah membangkitkan azan subuh di Dewan Rakyat secara rasional. Kerajaan bercadang penubuhan jawatankuasa khas untuk menangani isu-isu agama. Sebarang faham pelampau termasuk agama adalah tidak sesuai untuk Malaysia.

Kami telah berhubung dengan syarikat pengurusan tentang aduan para penghuni di Taman Aman Putra. Kami juga memberitahu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai hal ini. Kami akan menyusulnya.

Cabaran yang kita hadapi memerlukan undang-undang yang berkesan dan penguatkuasaan yang cekap. Pada akhir tahun lalu, Dewan Rakyat meminda Akta Pembangunan Perumahan 1966, Akta Geran Strata 1985, Akta Pendaftaran Jurutera 1967 dan Akta Pendaftaran Arkitek 1967. Semoga timbunan masalah perumahan dapat diatasi.

Contohnya, semua 144 PBT termasuk DBKL hendaklah melantikkan pesuruhjaya bangunan yang cekap untuk memantaukan bangunan termasuk geran strata.

Dr Tan Seng Giaw

Kaji bilangan hari cuti dan daya saingan,15.4.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengesyorkan supaya Kerajaan mengkaji secara menyeluruh bilangan hari cuti yang dinikmati oleh 1.2 juta kakitangan kerajaan, lalu menetapkan bilangan hari cuti yang dapat membolehkan para pekerja awam bersaing dengan dunia, selaras dengan matlamat kebersihan dan keberkesanan dalam pentadbiran.

Dr Tan sering mengambil perhatian terhadap kecutian kakitangan awam. Pada 15 April, 2007, beliau menekankan bahawa para pekerja awam mestilah bersih dan cekap.

Selama ini, anggapan kita ialah Malaysia mempunyai bilangan hari cuti yang banyak. Setiap tahun, para pekerja awam boleh menikmati 126 hari cuti, yakni 97 hari cuti mingguan, 14 hari kelepasan am dan 15 hari cuti tahunan. Adakah hari cuti yang merupakan hak keistimewaan?

Laporan akhbar mencatatkan Profesor Madja Abdul Rahim sebagai mengatakan bahawa Singapura dengan 11 hari kelepasan am memperolehi pendapatan perkapita US$28,000, manakala Malaysia dengan 14 hari kelepasan am mempunyai pendapatan perkapita US$5,000. Adakah perbandingan ini adil?

Negara-negara lain di dunia menetapkan hari kelepasan am sebanyak 7 hingga 22 hari setahun: Vietnam 7, U.K. 9, Amerika Syarikat 10, Jepun 19 dan Taiwan 22.

Setiausaha Agung Cuepacs Ahmad Shah berpendapat bahawa kakitangan awam menikmati hari cuti yang terlalu banyak; cuti mereka bukan hak keistimewaan.

Kerajaan haruslah mengkaji secara mendalam bilangan hari cuti kakitangan awam daripada pelbagai segi, misalnya pendapatan perkapita, kecekapan dan daya saingan. Kemudian, ia patut mengadakan bilangan hari cuti yang selari dengan zaman moden.

Rehat dan cuti adalah perlu bagi setiap orang. Tetapi, kita hendak mengetahui kapasiti kerja orang biasa di Malaysia dan bilangan hari cuti yang cocok dengan permintaan sekarang. Kita akan mengemukakan darihal bilangan hari cuti, kecekapan dan daya saingan di Dewan Rakyat.

Dr Tan Seng Giaw

Friday, April 13, 2007

Bukan semua yang behijrah ke negara lain hanya mementingkan wang, 12.4.2007

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw tidak bersetuju dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Datuk Seri Nazri Aziz yang mengatakan bahawa penghijrahan cerdik pandai dari Malaysia ke seberang laut adalah kerana mengejarkan wang. Kajian Nazri adalah tidak lengkap.

Jabatan Perdana Menteri haruslah mengkaji dengan menyeluruh untuk mengetahui bilangan yang berhijrah keluar negara dan faktor-faktor yang berkaitan dengannya di dalam 50 tahun ini. Majoriti terbesar keturunan Cina dan India tetap berada dalam negara.

Dr Tan menyoal Nazri ketika beliau menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Kebawah Duli di Dewan Rakyat pada 10 April, 2007.

Penghijrahan berlaku sejak ada insan manusia di dunia ini. Di mana-mana masyarakat, jika terdapat orang yang menganggap peluang yang lebih baik di lain negara, mereka mungkin berhijrah.

Pada 70han Abad lalu, ada keturunan Cina, India dan juga Melayu meninggalkan negara ini dengan bilangan yang lebih. Terdapat segelintir yang terus berpindah dari semasa ke semasa. Tetapi, ada juga yang mengembali ke negara. Seperti yang disebutkan oleh Ketua Pembangkang Lim Kit Siang, dasar dan peluang yang tidak adil merupakan dua dari pelbagai faktor yang menyebabkan mereka berbuat demikian.

Sejak kemerdekaan negara, kita tidak tahu dengan sebenarnya bilangan warga yang berhijrah dan bilangan yang pulang. Jabatan Perdana Menteri mestilah menyiasat bilangan dan sebab-musabab mereka bertindak sebegitu.

Pada zahirnya, Nazri tidak menerima pandangan kita. Tetapi, keadaan matanya menghalang beliau menyaksikan dengan lebih jauh. Sungguhpun terdapat penghijrah yang mengejar kebendaan. Ada juga bertindak sebegini disebabkan faktor-faktor yang lain. Di dalam sesetengah bidang seumpama akademik, ada yang bekerja di seberang laut bukan hanya untuk wang.

Terdapat orang Islam yang baru sahaja menetap di negara ini. Ada orang bukan Melayu semacam kami bermastautin di Malaysia untuk banyak generasi. Kami mengembali ke tanahair pada 1970. Walaupun pendapatan di luar negara adalah beberapa kali ganda, kami berada di negara untuk perjuangan berperlembagaan.

Dr Tan Seng Giaw

Tuesday, April 10, 2007

144 PBT selesaikan pagar & pondok keselamatan di kawasan kediaman, 10.4.2007

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya 144 pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempertimbangkan cara-cara untuk mengatasi masalah pembinaan pagar dan pondok keselamatan di kawasan kediaman untuk mencegah jenayah.

Dr Tan membantu sesetengah jawatankuasa para penduduk taman kediaman untuk meminta DBKL menghitungkan cara yang terbaik bagi menyelesaikan pagar dan pondok keselamatan yang didirikan oleh para penduduk bagi menghadapi penjenayah.Media pernah memuatkan berita terhadap masalah ini.

Orang Malaysia di seluruh negara adalah bimbang terhadap pertambahan kes jenayah. Dari 2000 hingga Februari, 2007, terdapat kira-kira 1.18 juta kes jenayah di negara; 180,000 kes jenayah kekerasan dan 1 juta kes jenayah harta benda. Pada tempoh yang sama, di Kuala Lumpur adanya 176,830 kes jenayah kekerasan dan 140,073 kes jenayah harta benda.

Pertambahan kes jenayah merunsingkan fikiran orang ramai. Ada penduduk yang mendirikan pagar dan pondok keselamatan di sekililing taman kediamannya, lalu melantikkan syarikat keselamatan untuk merondakan taman itu. Kerajaan mestilah menyiasat dakwaan sesetengah penduduk bahawa ada juga syarikat keselamatan yang menangguh di air keroh dengan memperburukkan keadaan agar para penduduk melantikkannya.

Ada penduduk yang mengemukakan permohonan kepada PBT untuk pagar dan pondok di tamannya. Ada yang membina pagar dan pondok keselamatan terlebih dahulu. Hanya selepas tindakan PBT, baharulah mereka membuat permohonan untuk pagar dan pondok. Pagar di komuniti berpintu ke atas tanah persendirian adalah tidak serupa dengan pagar di taman kediaman biasa.

Selain daripada Akta Kerajaan Tempatan 1976, PBT terpaksa memperkirakan sudut yang lain, termasuk gerak balas dari para penduduk.

144 PBT patutlah mempertimbangkan keadaan orang ramai dan suasana keselamatan, kemudian membantu rakyat menyelesaikan masalah pagar dan pondok keselamatan di kawasan kediaman.

Di KL, pelan strukturnya menekankan bahawa bandaraya ini hendak mencapai tahap dunia. Ini bererti semua struktur termasuk pagar dan pondok mestilah cocok dengan standard antarabangsa.

Dr Tan Seng Giaw

Thursday, April 05, 2007

Projek lencongan Sg Gombak menjadi iktibar,6.4.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyarankan agar Projek Lencongan Sungai Gombak dijadikan satu iktibar untuk mengelakkan lanjutan masa dan pertambahan kos bagi sesuatu projek.

Dr Tan mengulas permasalahan projek tersebut setelah menyertai lawatan kerja Jawatankuasa Kira-Kira Wang Parlimen ke tapak projek itu di Kampung Cangkat Gombak, Selangor, sempadan Kuala Lumpur (KL) pada pagi 5 April, 2007.

Sungai Klang, Sungai Batu dan Sungai Gombak dari Selangor merupakan sungai-sungai yang utama di KL. Ia menimbulkan banjir yang terbesar di sejarah KL pada 1971. Rancangan Tebatan Banjir KL (RTB KL) bermula pada tahun kemudian. Projek-projek Empangan Klang Gates dan Empangan Batu telah disiapkan pada 1980 dan 1987 masing-masing. Pada 1984, Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) merancangkan Projek Empangan Gombak. Ia dibatalkan kerana sebab-musabab semacam bantahan para penduduk. Pada 1989 JPS merancangkan Projek Lencongan Sungai Gombak sebagai alternatif. Air hujan lebat dari Sg Gombak dilencongkan dari Kg Cangkat sepanjang 3.3 km kepada kolam Batu yang diperbesarkan.

Kontraktor yang pertama telah dilantikkan untuk projek lencongan tersebut pada 10 Mac, 1994 dan ditetapkan siap pada 31 Julai, 2003 dengan kos RM 17,216,000. JPS telah mengadakan banyak dialog dengan para penduduk kerana pelbagai faktor, contohnya pemindahan rumah, setinggan, jajaran lencongan, kilang-kilang, bayaran pampasan, kerja tambahan, dan kerosakan rumah-rumah ketika pembinaan.

Dari 10 Mac, 1996 hingga 31 Julai, 2003, lanjutan masa untuk projek tersebut adalah 7 kali. Kos projek ditambah kepada kira-kira RM20 juta. Projek ini dikaji semula akibat banjir teruk di KL pada 21 April, 2001, 29 Oktober, 2001 dan 2003.

Laporan ADB 2001 mengenai kajian semula RTB KL mewujudkan Projek Hujan Lebat dan Terowong Jalan (SMART) untuk Sungai Klang dan Projek Kolam-Kolam Takungan Banjir Batu dan Jinjang termasuk memperlebarkan lencongan Sg Gombak untuk Sg Gombak, Sg Batu, Sg Jinjang dan Sg Keroh..

Kontraktor kedua, Peremba ECD Constrution Sdn Bhd telah dilantik untuk Lencongan Sg Gombak. Kontraktor ini juga memperluaskan kolam-kolam di Jinjang dan membina parit dan saluran bawah tanah untuk membawa air dari Sg Keroh, Sg Jinjang dan Sg Batu kepada kolam-kolam tersebut. Ia dipanggil Projek Kolam-Kolam Takungan Banjir Batu dan Jinjang. Kosnya adalah lebih RM 800 juta. Tempoh kontrak adalah dari 25 Ogos, 2003 hingga 24 Mei 2007 dan setakat ini dilanjutkan kepada 27 Disember, 2007.

Permasalahannya meliputi pengambilan tanah RM 88 juta, kerja memindahkan kabel telekom dan elektrik serta paip bekalan air, sesetengah penduduk mengambil kesempatan, subkontraktor tidak dibayar oleh kontraktor dan lebih satu km Sg Gombak ditutupkan dengan konkrit untuk jalan.

Lencongan Sg Gombak merupakan satu iktibar bagi mengelakkan kelewatan dan kos yang lebih. Selain daripada kebimbangan tentang penyalahgunaan wang rakyat untuk tebatan banjir di sungai, kita menumpukan perhatian kepada Dewan Bandaraya KL untuk menyenggara semua longkang dan parit. Rakyat mestilah menjaga longkang, parit dan sungai.

Dr Tan Seng Giaw

Cepatkan kerja memindakan skim perkhidmatan polis, 5.4.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw berpendapat bahawa Kerajaan haruslah mempercepatkan kerja meminda skim perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk penstrukturan semula pangkat, penggredan perjawatan, gaji dan cadangan emolumen baru PDRM.

Pindaan yang disyorkan itu adalah berkaitan dengan laporan tahun lepas Suruhanjaya Diraja untuk Menambahbaikkan Perjalanan dan Pengurusan Pasukan Diraja Malaysia (PDRM). Misalnya, cadangan-cadangan nombor 89 hingga 93 dari 125 cadangan laporan itu adalah untuk menyesuaikan skim perkhidmatan PDRM. Kita mahu polis bersih, cekap dan beramanah. Kita hendaklah memberi gaji yang berpatutan.

Dr Tan membandingkan perkembangan pelaksanaan 125 cadangan Suruhanjaya Diraja tersebut di antara Ogos 2006 dan April, 2007.

Pada 30 Ogos, 2006, Kementerian Keselamatan Dalam Negara mengatakan bahawa 101 atau 81% dari 125 cadangan laporan itu telah dan sedang dilaksanakan, 18 atau 14% sedang dikaji dan 6 atau 5% tidak akan dilaksanakan. Pada 29 Mac, 2007, kementerian itu mengesahkan 102 atau 82% telah dan akan diimplementasikan walhal 23 atau 18% sedang dikajikan. Dalam tempoh lebih enam bulan, pelaksanaannya hanya bertambah 1% sahaja. Kita berharap kementerian dapat mempertingkatkan kapasiti pelaksanaannya.

Hari ini, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negara YB Dato' Mohd Johari menekankan bahawa Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menyemakkan gaji PDRM dan cadangan Suruhanjaya Bebas untuk Aduan dan Salah Laku terhadap Polis (IPCMC) akan dibentangkan tidak lama lagi.

PDRM menentang penubuhan IPCMC. Salah satu sebab penentangan ini ialah ia dianggap khasnya menyasarkan PDRM, tetapi jabatan-jabatan yang lain dibiarkan begitu sahaja. Negara-negara lain seumpama Australia dan England mempunyai suruhanjaya seperti ini selain daripada Ombudsman untuk semua jabatan kerajaan.

Jenayah semacam ragut, perompakan dan pembunuhan adalah berleluasa di segala lapisan masyarakat. Orang pelbagai latar belakang, termasuk ahli parlimen dan menteri, berasa sangat tidak puas hati. Kita terpaksa memperbaiki perkhidmatan dan gaji polis. Kita mahu mempertingkatkan kerjasama antara rakyat dengan polis.

Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Keselamatan Dalam Negara mestilah mempercepatkan kerja meminda skim perkhidmatan, penstrukturan semula pangkat, penggredan perjawatan, gaji dan cadangan emolumen baru PDRM.

Dr Tan Seng Giaw

Tuesday, April 03, 2007

Siapkan Projek Kolam2 Takungan Banjir Batu dan Jinjang (Pakej II), 3.4.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesak Kerajaan supaya menyiapkan Projek Tebatan Banjir Kuala Lumpur dalam masa yang ditetapkan dengan seboleh-bolehnya, serta memastikan keselamatan orang ramai ketika projek dilaksanakan.

Projek Tebatan Banjir KL Pakej II--Projek Kolam-Kolam Takungan Banjir Batu dan Jinjang--bukan sahaja lewat, bahkan juga menyebabkan jalan runtuh.

Setelah melawat dan memperhatikan keruntuhan jalan di Jalan Kepong bahagian Jinjang di mana kerja Pakej II sedang dilaksanakan, Dr Tan mengeluarkan kenyataan ini.

Banjir berlaku kerana pelbagai faktor, termasuk yang buatan manusia, yakni, pembangunan tanpa kawalan. Pada 1971, banjir besar melanda KL. Banjir masih timbul dari semasa ke semasa di Wilayah Persekutuan ini. Pada 2006, bah besar menimpakan Johor. Oleh itu, projek-projek tebatan banjir adalah perlu. Yang terpenting sekali, ianya dijalankan dengan berkesan.

Projek Tebatan Banjir KL adalah terdiri daripada dua pakej, iaitu, Projek Stormwater Management and Road Tunnel (SMART) dan Pakej II, yakni, Projek Kolam-Kolam Takungan Banjir Batu dan Jinjang. Ini melibatkan empat kolam besar atau tasik-tasik di Sri Segambut, Sri Delima, Taman Wahyu dan Taman Nanyang di Jinjang. Air hujan yang lebih akan disalurkan melalui parit dan paip bawah tanah kepada kolam-kolam tersebut.

Sebahagian Projek Pakej II mengenakan Jalan Kepong bahagian Jinjang. Lencongan jalan telah diadakan. Pada tempoh hari, bahagian ini telah dilanda masalah subkontraktor dan jalan runtuh. Sambil menghadapi kelewatan projek dan ketidakselesaan, para pengguna jalan bimbang dengan bahagian yang lebih rendah dari paras permukaan.

Projek Pakej II telah ditetapkan siap pada awal tahun ini, tetapi ditunda kepada akhir tahun ini. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mestilah mengawal projek dengan efektif, serta menentukan jalan yang terjatuh dari paras permukaan tidak berbahaya bagi kenderaan.

Dr Tan Seng Giaw

Sunday, April 01, 2007

Datuk Bandar KL mesti umum para penyebab pencemaran sungai,1.4.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL) Dato' Ab. Hakim Borhan mengkaji secara menyeluruh keadaan pencemaran sungai-sungai dalam bandar, lalu mengumumkan peranan Indah Water Konsortium (IWK) dan lain agensi yang mencemarkan sungai-sungai dengan sebenarnya.

Pada 1 April, 2007, Dr Tan memberi perhatian kepada kenyataan Kerajaan Negeri mengenai IWK sebagai penyebab utama pencemaran sungai-sungai di Selangor semalam.

Kerajaan telah mengatakan bahawa ia sedang menghidupkan Sungai Klang, yang sudah mati, secara beransur-ansur. Tetapi, kerjanya nampak terlalu lambat. Sungai Klang dan anak-anak sungainya berasal dari negeri Selangor dan selepas mengalir masuk Kuala Lumpur, ia mengembali ke Selangor sebelum meluah ke lautan. Sebarang langkah pembersihan terpaksa dilakukan ke atas sungai itu di Kuala Lumpur dan Selangor dengan serentak. Kalau tidak, usahanya adalah sesia sahaja.

Kita mendapati bahawa adanya kumbahan yang dibuangkan dalam Sungai Klang dan anak-anak sungainya seperti Sungai Gombak, Sungai Batu, Sungai Jinjang dan Sungai Keroh, Kepong. Misalnya, tidak jauh dari belakang Jaya Jusco, Metro Prima, Batu 7 Kepong, sisa cecair IWK mengalir ke Sungai Keroh. Datuk Bandar patutlah mengkaji secara menyeluruh kumbahan IWK dan lain agensi yang dibuangkan ke dalam sungai-sungai di KL, termasuk sama ada kumbahan ini telah atau belum dirawati.

Kita pernah menyoal Kerajaan tentang hal ini. Tetapi, jawapannya adalah tidak memuaskan. Contohnya, IWK mencurahkan kumbahan ke dalam tasik di Taman Bandaran Kelana Jaya, Petaling Jaya. Kadangkala, kebusukan menyelubungi. Jawapan Kerajaan darihalnya tidak menyentuh perkara yang tepat.

Kelmarin, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohd Khir Toyo mendedahkan bahawa IWK merupakan penyebab yang utama pencemaran sungai-sungai di Selangor, termasuk kumbahan, amonia dan najis. Pencemar lain ialah pemaju rumah, kilang dan industri di hilir.

Wargakota mengharapkan DBKL mengenalpasti para pencemar sungai seumpama IWK, pemaju rumah, kilang dan industri. Setakat mana ia melepaskan sisa cecair dan pepejal ke dalam sungai.
Dr Tan Seng Giaw