Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Tuesday, October 25, 2005

Minta Jakim menafsirkan erti azan dalam al-Quran

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong menyeru supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi tafsiran beberapa surah al-Quran mengenai lafaz azan.

Pada 27 September, 2005, saya telah membangkitkan aduan bukan Islam dalam Dewan tentang azan yang terlalu nyaring terutamanya waktu Subuh. Kemudian, sesetengah akhbar memuatkan berita ini dengan tajuk seperti 'Rakyat jangan bangkit isu azan' (Berita Harian).

Pada 30 September, 2005, Berita Harian mengatakan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri menolak persepsi Ahli Parlimen, Tan Seng Giaw yang mendakwa laungan azan menjatuhkan imej Islam serta mengganggu penduduk setempat sehingga menyebabkan anak kecil beragama lain terganggu adalah tidak berasas.

Pada 28 September, 2005, The Star, bertajuk 'House astir over 'azan' proposal'. Ia memuatkan:"I (Dr Tan Seng Giaw) have received complaints from people in my constituency, which has a majority of non-Muslims, that the azan for subuh (dawn) prayers is too loud and wakes them up abruptly. I hope the Government will regulate this, " he said to objections and shouts from several MPs.

Hari ini (25 Oktober, 2005), ketika membahaskan peruntukan bagi Jabatan Perdana Menteri seumpama RM225,905,000 untuk Jakim, saya minta jabatan itu menafsirkan lafaz azan yang lahir daripada mimpi dan wahyu.

Azan adalah al-i'lam atau an-nida. Saya berharap Jakim dapat menafsirkan azan yang terkandung di dalam Surah al-Taubah, Surah al-Haj, ayat 27, Surah al-Maidah, 58, Surah al-Isra,110 dan Riwayat Bukhari dan Muslim.

Surah al-Haj 27: "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji..." Surah al-Maidah,58:" Jika kamu dipanggil untuk sembahyang..... Surah al-Isra, 110: "Katakan (wahai Mohamad):'Serulah nama 'Allah' atau nama 'al-Rahman' yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia.' Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyang, juga jangan engkau perlahankan dia, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu." (Tafsiran Pemimpinan al-Rahman kepada Pengertian al-Quran.)

Monday, October 24, 2005

Takziah kepada YAB Perdana Menteri dan keluarganya atas pemergian isterinya.

Saya bagi pihak DAP mengucapkan takziah sekali lagi kepada YAB dan keluarganya dan mendoakan roh isterinya dimasukkan dalam golongan salihan.

Selepas lebih tiga tahun bertarung dengan kanser payu dara, Allahyarham mengembali ke ramatullah pada 20 Oktober, 2005 (1940--2005). Ini merupakan kehilangan yang besar kepada YAB dan rakyat keseluruhannya. Hari itu, rakyat mengerumuni Sri Perdana, Putrajaya, untuk menziarahi Allahyarham. Kemudian, mereka mengunjungi pusaranya di Presint 20, Putrajaya. Ini menunjukkan kecintaan rakyat terhadap isteri YAB.

YAB menyatakan seorang yang kuat, tabah, sabar dan tenang untuk menghadapi pemergian Endon. Beliau dapat menangani cabaran-cabaran Rancangan Malaysia Ke-9 tahun depan, keamanan dan wawasan yang jelas. Rakyat mestilah bekerjasama dengan YAB untuk mencapai wawasan itu.

Limau kasturi masam tak hilang,
Sedia dihidang dengan ikan gelama;
Harimau mati meninggalkan belang,
Manusia pergi meninggalkan nama.

Sekian, terima kasih.

Dr Tan Seng Giaw

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP
Ahli Parlimen Kepong

Tuesday, October 18, 2005

Apakah terjadi dengan nasihat konsultan untuk menjadikan jajambat Kepong kalis air?

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP meminta Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu menjelaskan mengapa Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak mengikut nasihat Halcrow, konsultan British, untuk mencegah air hujan daripada meresapi ke dalam keretakan tiang-tiang jejambat Kepong.

Pada 17 Oktober, 2005, beberapa menteri hadir di dalam Dewan untuk menjawab solan-soalan ahli-ahlinya. Ini adalah menggalakkan. Samy menerangkan perkara-perkara yang dibangkitkan di dalam perbahasan Bajet 2006 peringkat dasar seperti Lebuhraya Kuala Lumpur--Putrajaya, Lembaga Jurutera dan jejambat Kepong.

Projek Pakej 11A, Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) (jejambat Kepong), bermula pada 1999. Setakat ini, sekurang-kurangnya lapan konsultan asing telah dijemput untuk rekabentuk dan kemudian keretakannya yang dilihat sejak Ogos 2000.

Setelah dibuka ke trafik untuk enam saluran jejambat tersebut, ia ditutup oleh JKR pada 8 Ogos, 2004, menyebabkan kesesakan yang teruk. Apakah kriteria untuk penutupannya? Siapa yang telah membuat tafsiran?

Pada 12 Ogos, 2004, pakar United Kingdom, Halcrow, telah dilantik, diikuti dengan pembukaan semula jejambat itu pada 12 November, 2004 untuk hanya empat saluran sahaja. Menteri Kerja Raya mengatakan JKR menurut nasihat pkar itu. Pada 26 Januari, 2005, konsultan berkenaan menemui kimia ettringite di dalam keretakan tiang-tiang jejambat. Syarikat itu mencadangkan supaya JKR menjadikan jejambat kalis air kerana kimia luar biasa itu memerlukan air. Dengan air, ia dapat berkembang , mengakibatkan keretakan yang serius.

Selepas lebih lapan bulan cadangan kalis air dibuat, JKR belum mengambil tindakan. Apakah sebabnya?

Friday, October 07, 2005

pemberian permit import kereta, AP,dan Rafidah

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datin Paduka Rafidah Aziz mestilah datang ke Parlimen dengan lebih kerap untuk menjawab soalan dan untuk memahami perasaan ahli-ahlinya.

Komen Dr Tan Seng Giaw, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong mengenai isu AP selepas Rafidah menjawab soalan AP selama 45 minit di Dewan pada 4 Oktober, 2005.

Setelah beberapa minggu kontroversi AP, akhirnya Rafidah muncul di Dewan. Ketika itu, ramai orang mengumpul di dalam dan luar Dewan untuk mendengar penjelasan beliau. Walaupun, di dalam temubual akhbar, beliau mengatakan bahawa semua soalan sudah dijawab, tetapi ramai merasa bahawa ada yang belum selesai lagi.

Menteri itu mestilah menerangkan kesan pemberian AP sejak 1970. Adalah amalan ini telah mencapai matlamatnya, iaitu, membantu orang Melayu menceburkan diri di dalam bidang automotif? Apakah kesan negatifnya?

AP seperti ini bukan sahaja untuk kereta bahkan juga bagi keluli dan sebagainya. Kita hendak mengetahui keadaan seumpama pemgimportan besi keluli. Adakah AP keluli disalahgunakan?

Meskipun Rafidah sering menjelaskan bahawa beliau sibuk dengan urusan di luar negara, para ahli Dewan melihat YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih dapat meluangkan masa untuk menghadiri Dewan. Mengapa Rafidah tidak boleh berbuat demikian?

YAB boleh memberi nasihat kepada Rafidah bagaimana beliau dapat mengaturkan masa bagi menghadiri Dewan.